Permasalahan Moral Di Kalangan Remaja; Silap Siapa?

Oleh: Khairul Amar Razali, Nashville, TN

Disclaimer: This issue will be written in Bahasa Melayu because it will discuss about some matters which are currently happening in Malaysia. If you really want to know and want me to translate this entry to you, please email me privately.

SAYA berasa sangat terpanggil untuk mengupas isu berkenaan permasalahan moral di kalangan remaja setelah saban hari dimomokkan dengan pelbagai karenah remaja yang semakin menakutkan di akhbar-akhbar utama negara. Jujurnya saya mengambil berat dan sensitif dengan hal ehwal remaja lantaran pelbagai faktor. Pertama saya menyedari bahawa saya juga berada di kalangan mereka, sebaya dan kedua saya sekadar ingin membuat gambaran terhadap para pewaris kepimpinan negara pada masa akan datang. Sesungguhnya, pada masa akan datang itu bukanlah seabad, atau sealaf yang akan datang, tetapi hanyalah sekitar 10 tahun atau 20 tahun yang akan menjelang.


Kemuncaknya, saya telah dimaklumkan oleh seorang kenalan yang memberitahu bahawa sekolah lama saya sendiri telah termuat di dalam akhbar tempatan lantaran telah berlakunya kes buli di kalangan pelajar di sana.

Sepanjang lima tahun saya menuntut di sekolah tersebut belum pernah berita buli atau salah laku pelajar terpampang di dalam akhbar. Saya menyedari ketika saya menuntut di sana, telah terdapatnya kes salah laku pelajar, tetapi bagi saya kejadian tersebut tidaklah sampai mencederakan pelajar yang terlibat dan masih pada tahap terkawal. Guru-guru juga mengambil pendekatan tegas dan tidak berkompromi terhadap permasalahan ini.

Justeru, apabila kes seperti ini terjadi, perkara tersebut telah menjadi satu indikator kepada saya berkenaan dengan mutu dan nilai akal budi para remaja ketika ini secara mutlak.

Namun, perlu diingatkan terlebih dahulu di sini bahawa seringkali terdapatnya media masa yang begitu banyak tersalah tafsir dan begitu lapar dengan berita-berita sensasi, lebih-lebih lagi perkara yang berlaku di sekolah yang dikatakan bagus dan indah pada pandangan masyarakat sekitar. Bukanlah saya mahu mendabik dada menghamburkan pujian berlebihan menyatakan bekas sekolah saya itu tersangatlah bagus, namun saya percaya bahawa begitulah yang terjadi dan kadangkala kejadian kecil telah sengaja diperbesar-besarkan dan perkara yang salah dan tidak dikaji dengan teliti telah dibetulkan dan seolah-olah benar belaka. Saya menyokong kebebasan bersuara di kalangan masyarakat, namun perkara yang lebih penting ialah memastikan suara-suara yang kita laungkan itu bersifat benar dan tidak ditokok tambah secara membuta tuli.

Saya amat tertarik untuk mengupas suatu kes yang telah menggemparkan masyarakat nasional iaitu berkenaan kes pergaduhan ala samurai yang berlaku di sebuah sekolah di Manir, Terengganu. Perkara pertama yang bermain di benak pemikiran saya ialah jika dahulu kita menyangka wabak kebejatan moral hanya menyerang remaja di kawasan bandar, kini kita tidak boleh mempunyai mentaliti sebegitu lagi. Remaja yang tinggal di bandar-bandar kecil juga tidak terkecuali dan tidak terlepas, malah ada yang lebih parah. Saya pernah membaca suatu kajian yang membuktikan bahawa kes juvana yang terjadi di kawasan Felda juga ada mengatasi kes di sesetengah kawasan bandar dan ini merupakan suatu petanda yang membimbangkan.

Berbalik kepada kes pergaduhan ala samurai yang terjadi di sebuah sekolah pinggir bandar Kuala Terengganu, walaupun akhbar-akhbar utama negara tidak melaporkan secara terperinci kejadian yang berlaku, tetapi beberapa kepingan gambar yang saya peroleh daripada rakan-rakan amat mengejut dan menakutkan.

Image Hosted by ImageShack.us

Image Hosted by ImageShack.us

Sungguhpun kerajaan di bawah Kementerian Pelajaran bersungguh-sungguh menafikan peristiwa ini, tetapi foto-foto tersebut sudah cukup untuk menceritakan betapa adanya sesetengah golongan remaja yang berada pada tahap kebejatan moral yang sangat-sangat membimbangkan dan memerlukan tindakan segera. Penafian oleh pihak kerajaan bukanlah perkara pokok yang mahu dibincangkan di sini, tetapi perkara yang lebih utama mengapa tercetusnya perkara seteruk begini?

Tidak lama selepas itu kita digemparkan pula dengan kajian oleh seorang pakar kanak-kanak dan remaja daripada Universiti Kebangsaan Malaysia iaitu Dr. Khaidzir Ismail. Hasil kajiannya terhadap 887 pelajar perempuan yang berisiko tinggi di sebuah negeri telah menggoncangkan seluruh lapisan masyarakat. Daripada 887 pelajar, hanya seorang sahaja yang mengaku tidak pernah mengamalkan hubungan seks bebas!

Itu belum lagi dilihat pada pecahan yang melakukan aktiviti lain seperti mengambil minuman beralkohol, menonton video lucah, poteng sekolah dan sebagainya! Seperti biasa, kerajaan di bawah Kementerian Pembanguna Wanita, Keluarga dan Masyarakat cuba memandang enteng dan sunyi terhadap permasalahan ini.

Hasil kajian oleh Dr. Khaidzir Ismail antara lain membuktikan bahawa kebanyakan mereka datang daripada keluarga yang bermasalah. Saya ternanti-nanti, apakah reaksi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) terhadap kajian ini? Adakah kebimbangan mereka setanding atau mengatasi tahap kebimbangan jika anak-anak mereka tidak mendapat keputusan 5A di dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) atau tidak mencapai 10 atau 11 A di dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)?

Sejujurnya, saya amat yakin dan percaya bahawa institusi keluarga merupakan institusi yang cukup penting dan ampuh dalam melahirkan remaja yang berkualiti dan berjaya. Saya amat menyanjung tinggi terhadap institusi kekeluargaan dan amat percaya bahawa setiap perkara yang membentuk sikap dan diri remaja itu kebanyakannya merupakan acuan ibu bapa mereka. Saya tidak menolak bahawa terdapat juga remaja yang berjaya yang datang daripada keluarga yang bermasalah, benar, tetapi bagi saya lumrahnya mereka hanyalah mewakili sebilangan kecil remaja dan berapa ramaikah remaja yang mampu bertatih menanggung onak, duri dan rintangan untuk berjaya? Mereka masih muda, mentah dan masih mendambakan perhatian yang secukupnya daripada keluarga. Mereka sewajarnya diberi kasih sayang, tunjuk ajar serta model yang terbaik ke arah pembentukan peribadi yang mulia, bukannya dengan cara mewujudkan suasana yang tidak sihat di dalam keluarga.

Saya sangat bersimpati dengan rakan-rakan remaja yang lahir dalam keluarga yang bermasalah. Mereka memiliki potensi, intelektual, bakat, dan sinar yang terang, namun telah dimalapkan oleh permasalahan yang dicipta sendiri oleh kedua ibu bapa mereka. Kelak, saya bimbang bahawa gejala ini akan terus menerus berlarutan pada generasi demi generasi.

Saya memerhatikan bahawa impak sistem pendidikan terhadap nilai akal budi di kalangan remaja masih belum cukup berkesan dan mendalam. Kita menyaksikan bahawa matapelajaran Agama Islam atau Pendidikan Moral merupakan antara matapelajaran wajib dipelajari di sekolah rendah atau menengah, namun kes juvana, rogol, vandalisme dan sebagainya terus menerus meningkat. Bukanlah saya mahu menyatakan bahawa kandungan subjek-subjek tersebut tidak relevan dan tidak selari dengan kehendak semasa. Tidak. Tetapi apa yang sangat membimbangkan saya ialah para pelajar hanya mempelajari subjek-subjek sebegini hanya untuk melengkapkan gred A di dalam sijil peperiksaan mereka.

Saya menyanjung tinggi pelajar yang memperoleh keputusan yang gemilang terbilang di dalam peperiksaan mereka, namun apalah gunanya gred A yang berderet-deret sekiranya nilai-nilai murni, hukum-hakam agama serta perilaku-perilaku bermoral yang diterapkan oleh subjek-subjek tersebut langsung tidak mampu terperap pada diri mereka?

Pokok pangkalnya ialah pada institusi keluarga juga. Pertama, kita menyedari bahawa sudah tercipta budaya kini, masyarakat melakukan transfomasi ke arah mementingkan pendidikan terhadap anak-anak mereka. Bagus dan selayaknya pujian perlu dihamburkan kepada mereka. Namun, bagi saya ada sesuatu yang tidak kena jika terjadinya kes anak remaja membunuh diri lantaran gagal melakar kejayaan di dalam peperiksaan. Tekanan berlebihan oleh masyarakat termasuk oleh keluarga mereka sendiri telah membebankan para remaja dan hasilnya, akan lahirlah para remaja yang tidak berjiwa dan hanya menuntut ilmu bagi memperoleh kepentingan-kepentingan yang sementara. Keluarga, atau masyarakat seharusnya memberi lebih banyak peluang kepada anak-anak mereka untuk membuktikan potensi diri mereka untuk berjaya. Kejayaan tidak hanya tercipta di medan peperiksaan yang menguji sejauh mana kemampuan mengaplikasikan formula dan kemahiran menghafal semata-mata. Malah kejayaan juga perlu diukur melalui pemerkasaan akal dan budi dalam membentuk remaja yang bersahsiah.

Remaja yang memiliki kerohanian yang suci bestari, disusuli dengan kemampuan dan kawalan emosi dan jasadi yang cocok dan seimbang serta dilengkapkan dengan keintelektualan tahap tinggi melangit, merupakan impian peribadi saya dalam melihat generasi seusia saya kelak yang memacu kepimpinan dan kemajuan negara. Saya akan berasa gembira dan berbangga sekiranya Malaysia memiliki sejuta doktor, malah hati saya akan berbunga ria sekiranya Malaysia memiliki sejuta jurutera. Namun pada akhir dan zahirnya, kebanggaan saya itu tidak akan ke mana-mana sekiranya di kiri dan kanan saya terdapat berjuta-juta masyarakat yang rosak peribadinya.

Sekadar memetik kata-kata Prof Syed Muhammad Naquib al-Attas, “Tamadun yang sebenarnya ialah keadaan hidup insan yang telah mencapai taraf kehalusan tatasusila dan kebudayaan yang luhur bagi seluruh masyarakat.”

Sekadar berkongsi rasa.

Amar Razali,
Nashville, TN.

About these ads

6 comments so far

  1. Abu Hassan on

    Satu analisa atau ‘bedah siasat’ tentang keadaan umat Islam pada hari ini oleh Ust. M Ihsan Arliansyah Tanjung. Tidak dibincangkan penyelesaian kerana luar daripada skop kajian. Daripada satu segi yang lain, penyelesaiannya ialah kebalikan daripada permasalahan. Apabila kelemahan telah dapat dihapuskan atau diatasi, maka yang tinggal ialah kekuatan.

    http://tinyurl.com/2y73ve

  2. zikry on

    saya bersetuju dengan pendapat saudara, tapi adakah benar gambar yang di paparka disini. Sungguh dasyat sekali budak sekolah di malaysia zaman sekarang jika gambar itu benar, atau mungkin gambar itu hasil dari peristiwa kemalangan jalan raya..

  3. Zaidah AS on

    Syabas pada Sdr.Amar Razali kerana berani mengupas isu ini dengan baik. Saya sangat suka membaca penulisan saudara yang mantap dan penuh berwawasan. Semuga saudara berjaya kembali ke tanah air dan berbakti untuk ibu pertiwi. Salam hurmat dari saya seorang ibu yang masih mempunyai dua orang anak remaja dan seorang anak lagi di sekolah rendah. Terima kasih atas kupasan yang bernas ini. Assalamualaikum…Semuga Allah selalu memberkati saudara. Amin.

  4. oshin on

    kasihan de lo.kan pi sekolah belajar bukannya pergi berantam.tau

  5. Bomme on

    saye begitu terkejut apabila membaca artikel saudara…sungguhpun saye masih lagi remaja…tapi saye memang akui pekara ini memang berlaku…bukan saje kepade remaja sekolah malah pelajar universiti…Dulu pun saye memanglah nakal tapi xde la sampai macam saudara ceritakan…terima kasih dengan artikel saudara kerana menyedarkan saye tentang aper yang berlaku sekarang..harap kita mampu mengubah remaja zaman sekrang terutamanya Melayu yang kian hanyut dek zaman

  6. Aqilah on

    Pendedahan yang dinyatakan amat ditakuti dan disedari. Perbuatan berani pelajar-pelajar sama ada dalam atau luar bandar tiada bezanya lagi. Kalau dahulu kita katakan pelajar bandar banyak dipengaruhi perkara negatif, tapi skrg kalau anda pernah baca cerita tentang pelajar kita di felda-felda atau kg lagi menyeramkan. Semuanya terletak pada IMAN, tepuk dada tanya keinginan, nak ikut jln yg mana satu. Kita semua dikurniakan Allah, akal fikiran. Segala masalah berpunca daripada pendidikan agama, kalau tidak diamalkan dan tidak diterapkan sedari kecil inilah akibatnya… Saya setuju cara sdr. Amar sampaikan, teruskan usaha untuk berkongsi cerita, Insya Allah ada hikmah sebaliknya.


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: