Cetusan Minda: Perjalanan Umrah 5-15 Jun 2008

Assalamu’alaykum Warahmatullah Wabarakatuh,

Alhamdulillah, setinggi-tinggi rasa shukur kepada Allah subhanahu wataa’ala atas segala nikmat dan kurniaan yang telah diberikan, selawat dan salam kepada Nabi Muhammad sallalahu ‘alayhi wasallam.

Saya selamat mengikuti rombongan mengerjakan umrah baru-baru ini, Alhamdulillah. Saya menyertai rombongan dari Memphis, TN yang terdiri daripada 20 ahli jemaah. Kisah bermulanya keinginan untuk menunaikan umrah ini bermula setelah mendapat emel daripada brother Yasser Abdul Rahman yang saya kenali daripada kelas AlMaghrib yang dianjurkan di Memphis pada semester yang lalu. Kebetulan, Alhamdulillah, saya mempunyai sedikit kelebihan wang, dan jadual kerja research saya juga sangat flexible (terima kasih Dr. Polley), lantas saya mendaftarkan diri untuk program umrah tersebut.

Ini merupakan kunjungan kedua saya ke Makkah AlMukarramah dan Madinah AlMunawwarah. Kali pertama saya mengunjungi tempat yang sungguh indah dan mendamaikan di jiwa itu ialah ketika saya berumur 12 tahun. Ketika itu, saya mengerjakan umrah bersama-sama dengan papa, Mok, Mat Yuh, Bangah, Cek Long, Kak Diana, dan dari situlah saya mengenali anak-anak Pak cik Wahab seperti Tarmizi dan Maryam yang masih saya hubungi sehingga ke hari ini.

Semua sekali ahli jemaah daripada US ialah 27 orang. 20 orang dari Memphis, 5 orang dari Nashville (saya, Pak cik Navid, isteri dan 2 orang anaknya), seorang brother dari New Jersey dan seorang brother dari St. Louis, Missouri.

Bertolak

Saya bertolak dari Nashville pada hari Khamis, Jun 5 2008. Alhamdulillah, segalanya berjalan lancar. Saya mendapat keizinan daripada Dr. Polley untuk mendapat cuti selama seminggu, malah beliau sempat meminta saya membelikan Teh Arab untuknya. Saya bertolak keluar dari rumah sekitar jam 6 pagi, dan penerbangan saya dari Nashville ke La Guardia, NY ialah sekitar jam 7 pagi.

Saya tiba di La Guardia, NY sekitar jam 10 pagi. dan dari sana saya perlu mengambil shuttle bus untuk ke JFK Airport. Alhamdulillah, tanpa di sangka-sangka, shuttle bus yang saya naiki disertai sama oleh ahli rombongan dari Memphis. Kami bertemu di situ. Ketika itu saya mengenali brothers Jaweed, Gous, Massoud, dan ramai juga antara mereka yang saya tidak kenali.

Penerbangan dari New York ke Jeddah menerusi Saudi Arabian Airlines ialah pada jam 2 petang. Saya tidak membawa banyak bagasi bersama saya, hanya 1 beg galas dan 1 beg sorong. Kedua-duanya saya bawa bersama sebagai carry on. Ketika di dalam pesawat, saya duduk di sebelah seorang pemuda yang berasal dari Gambia yang turut menyertai rombongan Umrah, yang kemudiannya menjadi salah seorang rakan karib saya.
Namanya Sulayman. Pemuda tegap berusia lewat 20-an yang bekerja sebagai IT Administrator di sebuah kolej di Memphis. Beliau tinggal di Mississippi dan berasal dari Gambia. Kebetulan saya baru sahaja mengambil kelas yang mempelajari sedikit sebanyak dunia Afrika pada Maymaster baru-baru ini, justeru adalah sedikit pengetahuan berkenaan negara tersebut.

AlMadinah AlMunawwarah

Kami tiba di Jeddah pada hari Jumaat, sekitar jam 8 pagi, kemudian kami mengambil pula penerbangan ke Madinah sekitar jam 12 tengahari dan tiba di lapangan terbang Madinah sekitar jam 1. Kami berusaha untuk memenuhi keinginan menunaikan solat Jumu’ah di Masjid AnNabawi, tetapi solat sudah selesai ketika kami sampai di tempat penginapan kami, Elaf Taiba, yang terletak begitu dekat dengan Masjid AnNabawi.

Tanpa banyak membuang masa, kami daftar masuk ke bilik masing-masing dan bersiap sedia untuk ke Masjid AnNabawi. Saya mendapat bilik bersama-sama brothers Yunus (yang pada akhir perjalanan memjadi father-figure kepada saya), Musa, dan Ghassan. Kami berehat sebentar, bersiap dan menuju ke Masjid AnNabawi.

Ingatan saya terhadap persekitaran Masjid AnNabawi 9 tahun yang lalu masih segar dalam ingatan, dan hasil permerhatian saya, tidak banyak perkara yang berubah. Yang banyak berubahnya ialah bangunan di sekitar masjid, dengan lebih banyak bangunan baru di bina. Masjid AnNabawi masih kelihatan seperti dahulu, indah, menawan, mempesona, mendamaikan, dan sejuk mata memandang.

Ketika saya melangkah masuk ke Masjid AnNabawi, jantung terasa berdegup dengan lebih kencang. Rasa kasih sayang dan kecintaan terhadap Rasulullah sallalahu ‘alayhi wasallam dan para sahabat baginda terasa makin hangat dan panas membara. Kawasan Raudhah, tempat antara Mimbar dan rumah baginda sallalahu ‘alayhi wasallam, ditutup sehingga ‘Asr untuk tujuan pembersihan, dan seketika kemudian, tempat tersebut dibuka, menandakan adhan ‘Asr akan berkumandang tidak lama lagi.

Subhanallah, kawasan Raudhah diisi sepantas kilat, malah ada antara mereka yang berlari. Saya tidak sempat untuk berada di kawasan Raudhah pada waktu itu, dan tidak mengapa, masih ada waktu yang lain. Kawasan sebenar Masjid yang dibina oleh Rasulullah sallalahu ‘alayhi wasallam dapat dibezakan melalui warna karpetnya iaitu hijau. Kawasan yang lain dilitupi oleh karpet bewarna merah dan karpet bewarna hijau hanya meliputi kawasan sebenar Raudhah, dari mimbar sehingga ke kawasan makam baginda.

Kecil sahaja kawasan Raudhah itu, boleh saya katakan lebih kurang sama dengan saiz ruang solat lelaki di Islamic Center of Nashville. Mereka berhimpit-himpit dan berebut-rebut untuk memenuhi ruangan Raudhah itu, dan perkara yang turut menjadi tumpuan tentulah kawasan yang pernah digunakan oleh Rasulullah sallalahu ‘alayhi wasallam menunaikan solat. Ramai sekali yang mahu bersolat di kawasan tersebut, dan saya pasti tentulah amat sukar untuk menghampirinya.
Setelah selesai menunaikan solat fardhu ‘Asr, saya mengambil peluang untuk menziarahi makam Ar Rasul sallalahu ‘alayhi wasallam dan sahabat baginda Abu Bakar dan Umar radhiyallahu ‘an.

Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar. Tidak dapat ditulis dengan kata-kata rasa hati ketika itu. Biarlah hati ini sendiri menyimpannya.

Kami juga sempat menziarahi perkuburan Baqi’ yang menjadi kuburan ramai sahabat, Tabi’, Tabi’een dan lain-lain lagi. Semoga Allah merahmati roh mereka semua, dan kita yang bernyawa ini juga, pasti akan turut sama mengikuti jejak langkah mereka.

Hari-hari di AlMadinah AlMunawwarah diisi dengan penuh manfaat dan sedaya upaya cuba mengamalkan sebanyak mana sunnah baginda sallalahu ‘alayhi wasallam Ah, mana mungkin mahu beronda-ronda membuang masa di sini, rugi!

Oh ya, di Madinah, saya berselera benar dengan kebab aka ‘shawarma’ Mesir. Murah, lazat dan mengenyangkan. Saya hanya memakan 2 shawarma untuk makan tengahari selama 4 hari berada di Madinah.

Daie di Amerika: Cabaran, Peluang, Penghormatan

Pelbagai organisasi di Madinah dan Makkah, contohnya Kompleks Percetakan AlQuran, Dar al-Hadith, sehinggalah Pengurusan Masjid AnNabawi begitu mengalu-alukan kedatangan kami, lebih-lebih lagi setelah mengetahui kami semua tinggal di Amerika. Mereka begitu bersemangat membantu kami dengan memberi jemputan dan layanan istimewa, yang saya rasakan tidak mungkin saya peroleh sekiranya saya datang dengan rombongan dari Malaysia.

Tambahan pula, banyak program diatur oleh Shaykh Abdul Rahman, seorang Imam di sebuah masjid di Arkansas yang berasal dari Makkah AlMukarramah. Beliau mempunyai ramai kenalan, sangat mudah didekati, begitu mesra dan tidak pernah kering dengan nasihat dan pada masa yang sama, mengusik ahli-ahli rombongan. Alhamdulillah, melalui beliaulah, kami dapat mengunjungi pelbagai tempat bermanfaat.

Di Madinah, kami melawati Kompleks Percetakan AlQuran, dan kami diberi layanan yang sungguh istimewa. Kami disambut oleh Pengarah kompleks itu sendiri, Shaykh Salih. Alhamdulillah, beliau menawarkan satu tawaran yang sungguh istimewa; sebut sahaja berapa banyak naskhah AlQuran yang diperlukan, berapa banyak maksud (translation) AlQuran yang diperlukan dalam pelbagai jenis bahasa, untuk tujuan dakwah dan faedah kepada masjid dan lokaliti. Saya memilih untuk mendapatkan maksud AlQuran dalam bahasa Melayu, setelah memikirkan kini semakin ramai dan bertambah pelajar Malaysia di Vanderbilt University. Saya mendapat 4 naskhah terjemahan AlQuran dalam Bahasa Melayu, 1 dalam Bahasa Inggeris dan lain-lain lagi. Saya akan menempatkan terjemahan AlQuran tersebut di ICN, insha Allah.

Kami juga melawati Islamic University of Madinah (in sha Allah, moga-moga saya diberi peluang untuk menuntut di sana), menunaikan solat sunat di Masjid Quba’ dan Masjid Qiblatain, melawat Dar Al Hadith, di mana kami disambut oleh Pengetua Shaykh Abdullah sendiri, dan ladang kurma sebagai selingan. Saya ada membeli sedikit kurma ajwa. Wah, mahal sekali kurma tersebut!

Antara pengalaman menarik ialah kami diberi ‘tour guide’ di Masjid AnNabawi. Subhanallah, kami dibawa ke tempat pusat kawalan dan operasi Masjid AnNabawi di bawah tanah, kemudian kami dibawa pulang melihat Muzium Masjid AnNabawi yang jarang sekali dibuka kepada umum, kami dibawa ke pusat kawalan pendingin hawa yang digunakan di Masjid AnNabawi yang terletak kira-kira 7 km daripada kawasan Masjid melalui terowong bawah tanah dan menonton tayangan berkenaan pembinaan dan sejarah Masjid AnNabawi sendiri.

Kami berada di AlMadinah AlMunawwarah selama 4 hari, dan kami bertolak menuju ke Makkah AlMukarramah pada hari Selasa petang selepas ‘Asr. Kami berniat Ihram di Dhul Hulayfah yang terletak kira-kira 15 minit perjalanan dari Madinah, dan dari sana sehingga tiba di Makkah, di dalam bas, kami tidak putus-putus melaungkan “Labbaykallah humma labbayk..”

Makkah AlMukarramah

Kami tiba di Makkah sekitar jam 11 malam. Kami menginap di Makkah Hilton & Towers (yang 9 tahun yang lalu saya sering melihat jam waktu di menaranya) yang terletak sangat dekat dengan Masjidil Haram. Tanpa banyak membuang masa, kami bersiap untuk menunaikan umrah.

Hati berdebar-debar. Terasa panas, hangat dan membara. Ketika kaki melangkah masuk melalui pintu King Abdul Aziz, mata terpana pada satu perkara, yang menjadi qiblat umat Islam, daripada zaman Rasulullah sallalahu ‘alayhi wasallam sehinggalah ke hari ini.

Kaabah.

Jantung seolah terhenti, mata seolah terpaku apabila memandangnya. Itulah dia qiblat solat kita. Pandangan saya hanya dipenuhi dengannya.

Shukur ya Allah, atas peluang kali kedua kepadaku untuk menziarahi Masjid alHaram ini.

Dengan tenang dan sabar, saya bersama-sama dengan Shaykh Abdul Rahman, Jaweed, ‘Ali, Gous dan keluarganya, dan Mas’oud dengan keluarganya menunaikan ibadah tawaf. Kemudian, kami menunaikan solat sunat di belakang Maqam Ibrahim, dan setelah itu menikmat air zam-zam sepuas-puasnya.

Selepas itu, kami menuju ke tempat sa’ie. Ada sedikit pembinaan berlaku di sekitar perjalanan antara Safa dan Marwa. Begitu ramai yang mengerjakan ibadah sa’ie ketika itu, tetapi Alhamdulillah, kami berjaya menunaikan ibadah sa’ie dengan lancar.

Tidak lama selepas itu, adhan Subuh kedengaran. Ketika itu saya masih belum bercukur, lantas saya masih berada di dalam Ihram. Seusai menunaikan solat Subuh, saya, Shaykh Abdul Rahman, Jaweed dan ‘Ali pergi mencukur rambut kami.

Alhamdulillah, selesai ibadah Umrah kami. Ya Allah, Kauterimalah ibadah umrah kami ini Ya Allah, ameen.

Hari-hari di Makkah, diisi sebanyak mungkin untuk berada di dalam Masjid alHaram. Sedaya upaya mahu memanfaatkan masa di Masjid AlHaram. Dahaga pula diisi dengan sepuas-puasnya daripada air zam-zam. Kali ini, saya tidak dapat mencium Hajarul Aswad. Saya hanya berpeluang menyentuhnya sahaja. Itupun memakan masa hampir sejam dan sungguh menguji kesabaran untuk menghampirinya. Subhanallah, Hajarul Aswad dipenuhi manusia 24/7.

Ketika di Makkah, kami berpeluang melawati muzium Masjid AlHaram yang baru dibuka dan jarang dibuka kepada umum, melawati tempat pembuatan kiswah iaitu kain yang meliputi Kaabah, dan juga ibu pejabat organisasi yang menjaga Masjid AlHaram dan mempromosikan remaja untuk kerja-kerja mengimarah Masjid AlHaram.

Saat-Saat Indah

Tentulah hari-hari yang berlalu selama lebih 10 hari itu merupakan antara hari-hari yang terindah, bukan sahaja berpeluang mendapat tempat penginapan yang begitu dekat dengan Masjid AlHaram dan Masjid AnNabawi yang ganjaran menunaikan solat ribu kali ganda, malah tidak pernah terlepas untuk menunaikan solat fardhu secara berjemaah. Dapat mendengar bacaan daripada Shaykh Abdul Rahman AsSudais merupakan ‘elaun’ tambahan.

Semangat untuk beribadah ketika di Makkah dan Madinah begitu panas dan istimewa. Seakan-akan semua masa mahu dihabiskan di Masjid AlHaram dan Masjid AnNabawi.

Alhamdulillah, moga-moga Allah menerima ibadah kami, dan moga-moga Allah memakbulkan do’a kami, ameen.

Bukan sekadar hubungan dengan Allah terasa mahu dieratkan, hubungan sesama manusia turut terasa mesra dan istimewa. Saya, Jaweed dan Sulayman seperti adik beradik kembar. Sulayman dan Jaweed tidak habis-habis mengusik saya malah Sulayman berharap saya dapat mencari wanita Malaysia sebagai isterinya. Entah dari mana mereka mendapat info, tiba-tiba sahaja suatu hari mereka datang kepada saya dan bertanya benarkan wanita Malaysia ialah wanita terbaik untuk dijadikan isteri? Haha. Ini tentu hasil dakwaan Imam Gyasi yang turut serta dalam rombongan umrah itu.

Bertolak Pulang

Saat yang paling tidak digemari telah tiba, pulang. Ya Allah, kalau diizinkan mahu berada selama lebih lama di sana. Kami bertolak dari Makkah ke Jeddah selesai solat Subuh pada hari Ahad, Jun 15 dan penerbangan dari Jeddah ke Washington-Dulles ialah pada jam 8 pagi. Tidak banyak perkara yang berlaku semasa dalam perjalanan pulang, hanya ingatan yang banyak melayang ke Masjid AlHaram dan Masjid AnNabawi.

Alhamdulillah, saya selamat tiba di Washington-Dulles sekitar jam 3 petang dan in sha Allah akan tiba di Nashville pada hari Isnin, sekitar jam 10 pagi.

Hati saya masih lagi kuat berpaut pada Makkah dan Madinah. Tidak dapat saya lupakan saat mengerjakan tawaf, saat berada di dalam Masjid AlHaram, saat berada di Masjid AnNabawi, saat berada di Raudhah. Setiap detik dan saat begitu berharga di ingatan.

Ya Allah, Kauterimalah ibadah kami, ya Allah, Kaumakbulkanlah doa-doa kami, ya Allah, tempatkanlah kami di kalangan orang-orang yang untung, yang berjaya di dunia dan di akhirat.

Ameen.

Jazakumullah khaer;

Khairul Amar Razali
June 16, 2008
Washington-Dulles International Airport, 5:12 am.

Nota kaki: Penghargaan dan apresiasi kepada seluruh ahli jemaah; Shaykh Abdul Rahman, Shaykh Muhammad Zaghloul, Shaykh Gyasi, Gous dan keluarganya, Mas’oud dan keluarganya, Yunus, Musa, Amjad, Sharif, Yusuf, Majdi, Jaweed, Sulayman, Ghassan, Shamarke, Shawn, Ahmad, Ali (Missouri), Ali (Memphis), Navid dan keluarganya, Terima kasih kepada Waleed daripada Mafaza Tours (www.mafazatours.com) atas pakej umrah yang moga-moga diberkati oleh Allah Subhanahu wata’ala. Ameen.

Semoga Allah menerima ibadah kita semua, semoga Allah menempatkan kita di kalangan golongan yang berjaya di dunia dan di akhirat. Ameen.

No comments yet

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: